mutakhir

[UPDATE] Kerja dua lelaki tunggang motosikal

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA lelaki menunggang motosikal dikenal pasti sebagai individu yang membaling bom petrol (molotov cocktail) ke arah pondok pengawal kondominium di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan seorang pengawal keselamatan melecur 10 peratus di tangan dan belakang badan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu pada 5 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4.35 pagi, apabila dua lelaki menunggang motosikal membaling bom petrol ke arah pondok pengawal berkenaan sebelum beredar.

“Ia menyebabkan pondok terbakar namun api berjaya dikawal pengawal keselamatan bertugas sebelum bomba tiba.

“Ketika kejadian, ada tiga pengawal keselamatan di dalam pondok dan tiada saksi lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, seorang pengawal keselamatan yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Shahrizal Salleh di talian 017-7134705 atau pegawai penyiasat Inspektor Mohd Nazril Haizar Abd Wahab di talian 018 4066009.

“Selain itu, boleh juga menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Pengawal melecur dibaling molotov cocktail
  • Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 3:59pm
    d