mutakhir

Pemandu Grab kena samun

Oleh Ibrahim Isa

POLIS Seri Alam mengesahkan kejadian samun seorang pemandu Grab pagi semalam, seperti yang tular video di media sosial, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa, seorang lelaki berusia 25 tahun membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya, sejurus selepas kejadian.

“Mangsa mendakwa ketika berehat di dalam keretanya pada jam 5.20 pagi, semalam di parkir Persiaran Saujana di Jalan Masai Lama di Seri Alam, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di sebelahnya

“Kereta dinaiki tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan parang mengugutnya.

“Bimbangkan keselamatannya, mangsa menyerahkan dompet mengandungi pelbagai dokumen penting, wang tunai sebanyak RM540 dan dua telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa tidak dicederakan dan segera membuat laporan polis.

Katanya, bertindak atas laporan itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Kami kini kami mengumpul maklumat dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian.

“Berikutan itu, orang ramai mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Hotline IPD Seri Alam di nombor 07-3864222,” katanya.

Video berdurasi 3:41 saat itu memaparkan mangsa berehat di dalam keretanya sebelum sebuah kereta berhenti di sebelah.

Dua lelaki termasuk seorang bertopeng dan seorang dipercayai bersenjatakan parang membuka kedua-dua pinta depan dan dilihat mengarahkan mangsa keluar kereta.

Suspek turut dilihat menggeledah kereta mangsa sebelum beredar dengan hasil samun.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 5:41pm
d