mutakhir

Isu Zakir: Biar Tun M sahaja yang bersuara

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

HANYA Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang selayaknya mengeluarkan kenyataan dan membuat keputusan membabitkan penceramah dari India, Dr Zakir Naik.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, semua pihak seharusnya akur perkara itu dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan hingga mengusutkan keadaan.

“Kita sekarang berada dalam satu suasana politik yang tidak begitu terurus seperti mana suasana sebelumnya.

“Keadaan jadi tidak terkawal apabila semuanya bercakap tanpa ada satu garis panduan atau satu keputusan yang jelas (berhubung isu Zakir).

“Perdana Menteri (Dr Mahathir) sudah memberikan kenyataannya mengenai isu Zakir tetapi masih ada menteri Kabinet yang berbeza pandangan.

“Sepatutnya itu (kenyataan Dr Mahathir) dijadikan pegangan atau keputusan kerana itu adalah keputusan yang tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas Solat Jumaat di Masjid Al-Hussein, Kuala Perlis, hari ini.

Sebelum ini, dua menteri Kabinet iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dilapor mahu Dr Zakir tidak lagi dibenar mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.

Selain itu, pelbagai pihak daripada kerajaan turut mendesak untuk beliau dihantar pulang ke India.

Bagaimanapun, Dr Mahathir baru-baru ini mengulangi pendiriannya untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir kerana bimbang jika pendakwah itu dibunuh di India nanti.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri turut mempersoalkan tindakan pelbagai pihak yang memberikan layanan tidak adil kepada Dr Zakir.

“Kita boleh ada pandangan berbeza oleh pelbagai pihak atas faktor negara ini adalah negara demokrasi.

“Tetapi kenapa Zakir diberikan layanan tidak adil dan jika ucapan beliau yang disalah gunakan (pihak tertentu) sehingga menjadikan maksud ucapannya di luar konteks, kita terus menghukum agar dia dihalau keluar dari Malaysia.

“Sedangkan ada banyak kenyataan lain yang lebih sensitif seperti kenyataan Dong Zong, isu penghinaan tentera, kenyataan bahawa bangsa Melayu pendatang dan banyak lagi. Tetapi hanya sepihak sahaja yang dipersalahkan,” katanya.

Beliau berkata, di dalam Islam, penguasa yang sedang dalam emosi tidak dibenarkan membuat keputusan atau fatwa dan beliau berharap supaya kemelut yang melanda ketika ini berlalu dengan cepat.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 5:53pm
d