mutakhir

Salah pijak pedal terus rempuh premis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GARA-GARA tertekan pedal minyak ketika memarkir kereta, seorang wanita secara tidak sengaja merempuh dinding kaca premis milik Telekom Malaysia (TM) Bhd, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Superintendan Abdul Shukor Yusoff berkata, dalam kejadian jam 10.40 pagi, seorang pejalan kaki wanita berusia 40 tahun turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kaca.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu jam 11 pagi tadi.

“Pemandu wanita berusia 42 tahun yang juga kakitangan syarikat menjual kereta dipercayai hendak meletakkan Perodua Kelisa miliknya ke petak parkir.

“Sepatutnya dia menekan pedal brek untuk memberhentikan kereta, namun tersilap lalu tertekan pedal minyak sehingga keretanya bergerak ke kaki lima dan merempuh dinding kaca premis.

“Bagaimanapun, pejalan kaki di kaki lima tidak mengalami kecederaan serius dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Shukor berkata, pemandu wanita terbabit tidak mengalami kecederaan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kangar mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 6:10pm
d