mutakhir

Rajin-rajinlah semak ramalan cuaca

Oleh Mohd Hilmie Hussin

JADIKAN amalan menyemak ramalan cuaca menerusi web, laman sosial dan aplikasi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum memulakan perjalanan.

Nasihat Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon itu khusus buat rakyat terutama penduduk di Lembah Klang yang berhadapan cuaca tidak menentu ketika ini termasuk banjir kilat.

Kejadian terbaharu semalam apabila banjir kilat berlaku di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dan laluan utama termasuk berdekatan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya.

Jailan berkata, hujan sudah diramal berlaku dan bukan fenomena aneh yang terjadi tiba-tiba.

“Malah, kita sentiasa membuat hebahan melalui Instagram, Facebook (FB) Info Cuaca Malaysia selain edaran kepada media dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk ramalan cuaca.

“Dalam kejadian semalam pula, sebelum hujan lebat pada 3 petang, sudah tiga amaran dikeluarkan menerusi semua platform termasuklah kepada media.

“Pada zaman ini, warga kota terutamanya, tidak patut berdepan isu maklumat terhad kerana masing-masing ada telefon pintar dan semua maklumat ini disediakan termasuk dalam aplikasi myCuaca, hanya perlu muat turun dan menyemaknya di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memberitahu, hujan di Subang Jaya semalam tidaklah lebat jika dibandingkan dengan Petaling Jaya dan kawasan sekitar Parlimen.

Untuk itu katanya, banjir kilat yang berlaku di sana perlu disiasat untuk mengetahui punca sebenar aliran air tidak lancar.

Berita berkaitan:

  • Jalan jadi 'sungai,' kereta hanyut [METROTV]
  • Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 6:21pm
    d