mutakhir

Karim sedia bertanding jika ada PRK

Oleh BERNAMA

BEKAS calon Parti Warisan Sabah (Warisan), yang kalah tipis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Datuk Karim Bujang menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa calon sekiranya ada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Kota Kinabalu, hari ini yang mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anifah Aman di kerusi itu pada PRU14, tidak sah dan terbatal.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan Warisan untuk meletakkan calon yang mereka rasa sesuai sekiranya ada PRK nanti. Bagaimanapun, saya bersedia (jika dicalonkan semula),” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

PRU14 pada 9 Mei 2018, Anifah yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi berkenaan selepas memperoleh 11,942 undi, majoriti 156 undi.

Susulan keputusan mahkamah, Karim meminta semua penyokongnya supaya bertenang​​​​​​​ kerana berpendapat kes itu belum selesai memandangkan pihak lawan masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.

Justeru, katanya, dalam tempoh itu, beliau akan memberi penerangan kepada penyokong parti supaya bersiap sedia sekiranya ada PRK dan tidak mendengar berita palsu yang mungkin disebar oleh pihak tertentu atau media yang tidak sahih.

Terdahulu, Hakim Lee Heng Cheong berkata, ​​​​​​​keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti undi mendapati terdapat unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.​​

​​​​​

Beliau berkata, penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah satu kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu, justeru kemenangan tersebut terbatal.

Berita berkaitan:

  • Kemenangan Anifah Aman terbatal
  • Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 9:43pm
    d