mutakhir

Mahu pemakaian tanjak jadi kebiasaan

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

“PADA awalnya, aktiviti ini bukan perhimpunan tapi revolusi baru, di mana kami akan pakai tanjak di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Cadangannya hendak taja tanjak dan baju jenama Tanah Melayu untuk 100 orang saja tapi tidak sangka sudah lebih 6,000 orang yang berminat dan meminta melakukan ‘flashmob’ di seluruh negara,” kata Nor Ahmad Faiz Mohd Azmi, 28, yang berkongsi idea itu di Facebook, 13 Ogos lalu.

Status di Facebook yang dimuat naik usahawan baju dan tanjak jenama Tanah Melayu itu menjadi perhatian sehingga mendapat lebih 13 ribu perkongsian dan lebih 11 ribu komen pengikut laman sosial.

Nor Ahmad Faiz berkata, jumlah mereka yang berminat semakin bertambah dari hari ke hari sejak dia mencadangkan aktiviti itu, minggu lalu.

Malah, ramai yang beri maklum balas kerana usaha dilakukan itu bukan anjuran ahli politik kerana pihaknya mahu bangsa Melayu naik bukan sebab anjuran sesiapa selain mengelak daripada dipolitikkan pihak tertentu.

Menurutnya, disebabkan sambutan semakin hangat daripada semua generasi, pihaknya merancang mengadakannya di seluruh negara dan di setiap negeri akan ada seorang ketua yang memimpin program itu yang berlangsung pada 16 September depan.

Pengisian program pula bukan berbentuk perhimpunan besar-besaran di satu tempat tetapi berselerakan namun masih akan dirakam untuk dijadikan rujukan generasi masa depan.

“Kita nak kembalikan pemakaian tanjak di seluruh negara, seolah-olah masyarakat kita sudah kembali bertanjak sebagai identiti asal mereka.

“Selepas itu akan dirakam dan tularkan agar berterusan impak kepada semua. Kami gembira dapat kerjasama daripada banyak pihak termasuk NGO, jurugambar, pegawai keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Nor Ahmad Faiz akui tiada cadangan untuk mengadakan perhimpunan dengan aktiviti pentas atau cuba menaikkan semangat berapi-api seperti perarakan sepanjang jalan.

Menurutnya, pihak mereka mahu mewujudkan gerakan yang tidak bersuara, bertulis, sepanduk atau beremosi.

“Kami nak buat gerakan yang normal, seolah-olah bertanjak sebenarnya sudah lama ada di negara kita ini.

“Terlalu ramai nak sertai. Saya memang tak sangka benda ini akan merebak sampai semua orang yang tak pernah kenal apa saya buat, semakin kenal.

“Saya tidak pasti berapa ramai yang disasarkan sebab berita ini merebak sendiri tetapi lagi ramai lagi bagus,” katanya.

Disebabkan itu juga, dia turut mengajak pembuat tanjak seluruh negara untuk turut serta kerana pastinya ramai akan tempah tanjak di tempat masing-masing.

Baginya, ia secara tidak langsung menjadikan pembuat tanjak dapat menghidupkan kembali ekonomi pembuatan tanjak.

“Harapan saya nak jati diri orang Melayu kembali hidup. Apabila cakap pasal jati diri, bukan sekadar lemah-lembut, ramah-tamah, sopan santun tapi jati diri sebenarnya apabila kita kembali jadi manusia, sebab kita bukan perjuangkan bangsa tapi membantu bangsa.

“Saya tahu, kita sudah di ‘brain wash’ supaya jadi lemah, jadi nak hidupkan kembali jati diri kita dengan programkan semula walaupun pastinya ambil masa lama.

“Kita sudah dijajah dari dalam dan luar, dan ia juga makan masa. Samalah dengan adanya program ini, kami fokus pada jati diri bangsa Melayu dengan harapan ia sampai ke generasi seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 9:51pm
d