mutakhir

Dr Zakir Naik dipanggil semula 19 Ogos

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik akan dipanggil semula 19 Ogos ini oleh pihak polis untuk menyambung rakaman percakapan beliau berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kelantan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, keterangan terbabit diambil susulan dua laporan polis dibuat di Gombak, Selangor dan Jelutong, Pulau Pinang pada Isnin dan Rabu lalu.

Menurutnya, susulan itu pegawai penyiasat sudah merakam percakapan Dr Zakir semalam bermula 3.30 petang hingga 7 malam.

“Beliau (Dr Zakir) turut diiringi peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader di mana prosedur itu akan disambung semula 19 Ogos ini pada 3 petang selepas pendakwah antarabangsa itu memohon penangguhan untuk berbuka puasa.

“Sementara itu, pihak polis turut menerima satu laporan polis pada Slasa lalu daripada pesara kerajaan yang membaca melalui media sosial mengenai kenyataan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang menyifatkan Persatuan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan perkenal tulisan Jawi di sekolah adalah satu bentuk Islamisasi,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.

Huzir berkata, siasatan sedang dijalankan dan rakaman percakapan Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim akan diambil dalam masa terdekat.

“Pada Rabu lalu pula, polis turut menerima satu laporan di Bidor, Perak daripada pesara tentera mengenai kenyataan yang didakwa menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan rakaman percakapan Khoo Yew Yin dijangka akan diambil pada 19 Ogos ini di Ipoh, Perak,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes Dr Zakir dan Persatuan Dong Zong itu masing-masing disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

“Kes Khoo Yew pula disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan lain.

Menurutnya, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 12:40pm
d