mutakhir

Padah berswafoto

Oleh Hamzah Osman

TINDAKAN seorang remaja warga Yemen cuba berswafoto atas jet ski ketika laut bergelora membawa padah apabila terjatuh dan lemas di Pantai Chenang di Langkawi hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, Al-Shabibi Ibrahim Manueer, 17, dilaporkan bertindak membuka jaket keselamatan dipakainya sebelum terjatuh ke laut dan lemas.

Menurut saksi, sekumpulan operator sukan pantai yang menyedari kejadian itu berusaha memberi bantuan awal sebelum membawa mangsa ke menara penyelamat pantai di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.15 pagi.

“Polis menerima laporan awal daripada seorang pemilik jet ski yang memaklumkan terdapat seorang pelancong asing dikhuatiri lemas di Pantai Chenang.

“Seterusnya, rakan mangsa tampil membuat laporan kejadian menimpa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada 12.21 tengah hari,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Langkawi (HL).

Menurutnya, mayatnya dihantar ke Unit Forensik HL untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 3:22pm
d