mutakhir

Ghalit sangat sampai takdan berbaju

Oleh BERNAMA

TUKANG urut wanita Thailand yang leka mengurut pelanggan lelaki dalam keadaan berbogel, terkejut apabila premis urut di Lebuh Macallum, Georgetown diserbu penguat kuasa, semalam.

Premis itu diserbu sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang pada 10.20 malam, menyebabkan kedua-duanya tidak sempat menyarung pakaian mereka.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan bersama dua lagi rakan senegaranya berumur 20-an yang bekerja di pusat urut berkenaan.

“Tiga wanita Thailand itu ditahan kerana melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial dan berkerja tanpa permit yang sah, manakala dua pelanggan lelaki serta pemilik premis diarahkan hadir ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya, hari ini.

Sementara itu katanya, dalam serbuan di pusat hiburan di Lebuh Sungai Pinang, tujuh wanita Vietnam dan Thailand ditahan kerana bekerja sebagai pelayan pelanggantanpa permit kerja yang sah.

Muhamad Husni berkata, pemeriksaan juga mendapati wanita terbabit yang berusia 20 hingga 30 tahun telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu operasi di beberapa restoran membolehkan dua lelaki India dan seorang lelaki Thailand ditahan kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Selain itu, dalam operasi di tapak pelupusan sampah di Hilir Sungai Kluang, seramai lima lelaki Bangladesh yang bekerja di situ ditahan,” katanya.

Menurutnya, semua mereka berusia 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke Depoh Imigresen di Juru bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 6:40pm
d