mutakhir

UNI sarat mesej perpaduan PETRONAS

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PETRONAS hari ini melancarkan filem web berjudul UNI sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, bersekali dengan ulang tahun syarikat itu yang ke-45.

Filem berdurasi lima minit dan 50 saat itu mengetengahkan elemen ‘Mini Malaysia’ yang memaparkan kehidupan dan nilai murni penuntut pelbagai kaum dan agama di universiti tempatan.

Ia disiarkan secara langsung pada Majlis Tayangan Khas dan Konsert Bersama Merentas Zaman disertai 45 artis terkemuka tanah air di The Plaza, Menara Berkembar PETRONAS, KLCC.

Perasmian majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut hadir Pengerusi PETRONAS Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin,

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abdul Rahman berkata, filem web itu menyampaikan mesej jelas mengenai rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum dan agama.

Katanya, ia bermula dengan dua penuntut universiti iaitu Roger Junior Buang dari Sabah yang pemalu dan Rizwan dari Kedah yang mempunyai personaliti lebih menyerlah.

“Ia meneroka kehidupan dinamik penuh warna-warni masyarakat pelbagai budaya negara kita. Ada masanya wujud perbezaan yang menguji kita namun, perbezaan itulah yang sebenarnya mendekatkan kita.

“UNI menghayati nilai-nilai keunikan di Malaysia yang menyatukan bangsa menerusi kesefahaman dan keterbukaan,” katanya pada sidang media selepas tayangan perdana filem web itu, hari ini.

Secara ringkasnya, UNI menceritakan Roger yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan dia juga menjadi sasaran Rizwan yang nakal.

Kedua-duanya kemudian ditugaskan untuk menyiapkan tugasan kumpulan bersama-sama, namun mengundang kemarahan pensyarah apabila menyiapkan tugasan secara individu.

Selepas diberi amaran oleh pensyarah, mereka akhirnya menyiapkan tugasan itu bersama pada cuti semester sehingga akhirnya mereka menjadi sahabat karib.

Sementara itu, konsert mega bertemakan #BersamaMerentasZaman itu menampilkan 45 artis termasuk Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, M Nasir, Faizal Tahir dan Ruffedge.

Bagi meraikan ulang tahun ke-45, PETRONAS menayangkan layar digital LED, Tree of Tales di Suria KLCC yang menceritakan kisah #BersamaMerentasZaman bermula 1974 hingga ke masa depan.

Paparan itu mula ditayangkan hari ini hingga 23 Ogos.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 9:50pm
d