mutakhir

Lapor kandungan 3R kepada SKMM

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa masyarakat untuk melaporkan sebarang insiden dan kandungan di media sosial yang berunsur 3R kepada pihaknya.

Pengerusinya Al Ishsal Ishak berkata, 3R itu merujuk Race (kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Di Raja).

Katanya, laporan boleh disalur ke aplikasi WhatsApp di 016-2206262 atau emel kepada mediasosial@mcmc.gov.my.

“Platform ini akan memudahkan proses bagi mempercepatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan berunsur 3R dengan kerjasama pihak berkepentingan yang lain.

“Mereka yang melihat unsur itu diminta tangkap layar (screenshot) dan berkongsi pautan URL itu kepada nombor atau emel berkenaan.

“Bagi mereka yang menerima mesej negatif menerusi aplikasi WhatsApp pula diminta tangkap layar dan berkongsi nombor telefon individu itu untuk pihak kami menjalankan siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Al Ishsal mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan sikap kesederhanaan ketika mengulas isu sensitif bagi memelihara keharmonian dan kedamaian negara yang dicapai melalui persefahaman sejak 62 tahun lalu.

“Sebarang ulasan dan penyebaran kenyataan berunsur negatif serta mengancam perpaduan masyarakat berbilang kaum perlu dihentikan serta-merta demi kepentingan bersama.

“Berfikirlah sebelum membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkara sensitif. Jangan sesekali ‘tweet’, kongsi dan sebagainya yang boleh menyinggung perasaan pelbagai kaum di negara ini.

“Jadilah rakyat Malaysia yang matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman yang boleh memecah belah perpaduan demi kemakmuran bersama,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 10:07pm
d