mutakhir

'Syukur bakal dapat rumah baru'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

MANGSA ribut yang musnah kediamannya akibat tempias Taufan Lekima minggu lalu kini mampu menarik nafas lega apabila rayuan untuk memperoleh rumah baru diluluskan.

Mangsa, Ahmad Kancil, 73 bersyukur apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan bantuan wang bagi membina rumah baharu yang berjumlah RM29,556 kepadanya dalam lawatan MAIPs di tapak runtuhan kediamannya di Kampung Sempering, Kangar, hari ini.

Ahmad berkata, dia berterima kasih kepada MAIPs kerana tampil membantunya ketika dia berada di dalam kesusahan akibat ribut yang memusnahkan kediamannya.

“Saya bersyukur kerana proses pertukangan rumah akan mula dilaksanakan pada Isnin nanti selepas proses pemilihan kontraktor selesai dijalankan.

“Insya-Allah jika tiada halangan yang mendatang, rumah saya dijangka siap dalam masa sebulan dan tidak perlu lagi menyusahkan orang lain dengan menumpang di rumah mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang di-Pertua MAIPs, berkenan berangkat melawat ke tapak runtuhan kediaman Ahmad bagi menyampaikan wang sumbangan dalam bentuk replika cek kepadanya.

Menurut Ahmad, dia dan isterinya, Rohani Ahmad, 56, kini menumpang tidur di rumah anak mereka sementara menanti rumah yang baharu siap dibina.

Dalam kejadian ribut yang melanda negeri ini minggu lalu, rumah Ahmad ranap sama sekali ketika dia dan isteri sedang berehat di ruang tamu.

Pada kejadian itu juga, lebih 1,000 rumah terjejas teruk dengan dengan anggaran kerugian bernilai jutaan ringgit, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sehingga hari ini pihaknya sudah menyampaikan wang bantuan Bencana Ribut yang berjumlah RM 661,161 kepada mangsa ribut di Perlis bagi fasa yang pertama.

“Bantuan yang diberikan adalah mengikut nilai kerosakan yang dialami oleh mangsa dan kita sudah memberinya secara berperingkat mengikut zon iaitu di Utara, Timur, Selatan, Barat dan Tengah.

“Setakat ini mangsa di Zon Utara sudah menerima sebanyak RM46,300, manakala di Timur sebanyak RM30,800, Zon Selatan sebanyak 54,250, Zon Barat sebanyak RM51,030 dan di Zon Tengah sebanyak RM126,100,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Bantuan Bencana Ribut bagi fasa kedua akan diberikan dalam masa terdekat dengan membabitkan seramai 200 keluarga.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 12:42am
d