mutakhir

'Peluang bebaskan harta terpendam' [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PELUANG membebaskan kekayaan terpendam. Itu tawaran kerajaan kepada lebih 5,000 pemilik tanah menerusi pelan pembangunan Kampung Baru yang dijangka memberi pulangan lebih besar kepada orang Melayu.

Dengan peruntukan berjumlah RM6 bilion hingga RM10 bilion, pihak berwajib memerlukan persetujuan pemilik untuk membeli tanah seluas 200 ekar sebelum dibangunkan sebagai kawasan moden, sesuai dengan persekitaran bandaraya Kuala Lumpur ketika ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, pembangunan semula terbabit akan memberi manfaat bukan saja pemilik ketika ini tetapi kepada generasi akan datang dengan mengambil kira nilai warisan di penempatan di tengah ibu negara itu.

“Untuk itu kita akan adakan Sesi Town Hall di Dewan Perdana Felda pada 21 September ini yang akan dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Di sinilah peluang penduduk atau pemilik tanah untuk memberi cadangan, bertanya soalan atau apa juga perkara berbangkit nanti.

“Pembangunan ini bukanlah untuk menghalau orang Melayu atau menyerahkan tanah ini kepada pihak lain seperti yang ditohmahkan. Sebenarnya ini peluang pemilik untuk membebaskan harta terpendam selama ini.

“Kalau satu lot dijual, mereka boleh beli 20 rumah mampu milik yang akan dibangunkan nanti. Memang akan ada pemilik asal yang akan beli di sini, kita akan bina 45,000 rumah dengan syarat pemilikan Melayu seperti mana sebelum ini. Itu tidak berubah,” katanya pada sidang media selepas Pra Pelancaran Sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Pemilik Tanah Kawasan MAS Kampung Baru, hari ini.

Khalid berkata, pembangunan semula adalah perlu memandangkan kepadatan penduduk yang sudah berubah di kawasan sekitar.

Katanya, ia akan mengembalikan matlamat asal Kampung Baru iaitu untuk membawa orang Melayu tinggal di bandar raya dan menerusi pembangunan itu kelak, hasrat itu akan menjadi kenyataan.

“Kepadatan kawasan sekitar adalah seramai 400 orang untuk setiap ekar. Jadi kalau Kampung Baru masih 90 seekar, maka tenggelamlah. Kita tak mahu kawasan ini terpinggir, kita mahu ia aktif. Di sini nanti akan ada zon komersil, zon kebudayaan, tradisional dengan persekitaran lebih tersusun.

“Ruang kawasan perniagaan juga akan dibesarkan dari 1 juta kaki persegi kepada 7 atau lapan juta kaki persegi. Kita juga akan ada zon hijau manakala kawasan masjid akan ada tanah lapang dan ia dikekalkan. Semuanya untuk manfaat bersama, pemilik, penduduk dan juga warga kota.

“Kita akan tentukan bagaimana kaedah untuk menyelesaikan isu pertindihan nama. Ia akan dijalankan secara bersepadu. Kawasan Kampung Baru ini semuanya ada geran dan kita akan tentukan ia akan memberikan manfaat kepada orang Melayu.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement Kampung Baru Shamsuri Suradi berkata, pihaknya akan meneliti tawaran kerajaan untuk pembangunan itu kerana ia bukan isu baru sebaliknya sudah berlarutan lebih 20 tahun.

Katanya, jika ia bersesuaian, ia akan memberi manfaat kepada pemilik kerana generasi ketika ini ialah generasi ketiga yang mewarisi tanah daripada ibu dan bapa mereka.

“Kita tunggu dan lihat. Ia adalah proses yang panjang. Sebelum ini begitu juga, tetapi tidak ada yang berubah. Kali ini tak tak tahulah bagaimana,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 12:11pm
d