mutakhir

Bikin panik je la...

Oleh Hasbi Sidek

KELIBAT harimau didakwa dilihat penduduk berhampiran semak di Jalan Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, di Seremban, baru-baru ini, sebenarnya adalah seekor kucing tulap.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya sedang memantau kehadiran haiwan dengan nama saintifiknya Pardofelis temminckii.

“Berdasarkan siasatan PERHILITAN, kami mendapati haiwan yang didakwa penduduk sebagai harimau sedang berkeliaran di kawasan semak berhampiran Taman Paroi Jaya sebenarnya adalah seekor kucing tulap.

“Buat masa ini pihak kami tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap haiwan berkenaan, bagaimanapun PERHILITAN melakukan pemantauan di lokasi aduan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, jika terdapat aduan baharu berhubung kehadiran binatang berkenaan, pihaknya mempertimbangkan untuk menangkapnya untuk ditempatkan di habitat yang lebih sesuai.

Wan Mat berkata, justeru penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka.

“Haiwan yang dilihat mereka bukan seekor harimau seperti yang didakwa dan penduduk tidak perlu bimbang. Malah, kucing tulap juga tidak mengancam keselamatan orang awam,” katanya.

Baru-baru ini penduduk mendakwa seorang pengawal keselamatan ternampak seekor harimau di luar pagar kediaman mereka di Jalan Cenderawasih 2 dan 5 sebelum meminta orang ramai supaya menutup pintu setiap masa.

Berdasarkan teks yang tular bersama gambar itu, penduduk mendakwa mereka memanggil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menangani situasi itu.

Kucing tulap atau Kucing Emas adalah kucing liar Asia Tenggara yang mempunyai saiz sederhana dengan panjang kira-kira 90 sentimeter dan berat antara 12 hingga 16 kilogram. Nama Inggerisnya, Asiatic Golden Cat, Asian Golden Cat atau Temminck’s Golden Cat.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 1:07pm
d