mutakhir

Padah berlumba di lebuh raya

Oleh Nur Lela Zulkipli

DUA remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bergesel sebelum melanggar penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 17.4 Lebuhraya Persekutuan, dekat Shah Alam, hari ini.

Kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mangsa berusia 18 dan 19 tahun maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azaman Sha’riat berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai berlumba dari arah Kuala Lumpur ke Klang sebelum motosikal mereka bergesel antara satu sama lain.

“Akibat geseran itu, kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal mereka melanggar penghadang jalan di lorong kanan lebuh raya,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 itu tercampak kira-kira 30 meter selepas melanggar penghadang jalan berkenaan.

“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Shah Alam bagi bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya.

Laluan menghala ke Shah Alam ketika itu turut ditutup bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan dan siasatan lanjut.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 1:39pm
d