mutakhir

Amukan menantu

Oleh Norizuan Shamsuddin

TINDAKAN lelaki mengugut untuk mencederakan isteri dan mentuanya dengan menggunakan parang membawa padah apabila dia dicekup polis di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut sumber, kejadian selepas suspek berusia 31 tahun terbabit bertengkar dengan isterinya yang berusia 25 tahun ketika berada di rumah keluarga lelaki berkenaan, kira-kira 5 petang, semalam.

Katanya, pertengkaran didakwa susulan lelaki berkenaan melarang isterinya pulang ke rumah mentuanya yang tinggal di kampung sama.

“Susulan itu, wanita terbabit yang tidak berpuas hati dengan larangan suaminya cuba mengajak lelaki terbabit berbincang.

“Namun berlaku pertengkaran mulut antara mereka selepas lelaki terbabit berkeras dengan keputusannya walaupun wanita terbabit berkali-kali merayu supaya tidak menghalangnya daripada pulang ke rumah kedua orang tuanya.

“Lelaki terbabit yang berang dengan isterinya yang tidak mahu mengikut arahannya bertindak mengambil parang di dapur lalu menarik rambut isterinya dengan kasar sebelum memotongnya dengan menggunakan senjata berkenaan,” katanya.

Menurut sumber, suspek juga meluru ke rumah mentuanya yang terletak berdekatan dari kediaman berkenaan sebelum mengamuk dan mengacukan parang ke arah ibu mentuanya.

“Suspek juga didakwa turut menetak tayar motosikal abang iparnya berada di hadapan rumah dengan senjata terbabit sebelum melarikan diri.

“Susulan itu, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan melampau suami membuat laporan polis kerana bimbang mengenai keselamatan diri selepas lelaki terbabit mengancam untuk mencederakan dia dan keluarganya.

“Suspek berjaya ditangkap jam 12.15 tengah hari tadi untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan direman tiga hari sehingga Selasa ini.

Ia bagi siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 3:39pm
d