mutakhir

Cari dadah, jumpa senapang angin

Oleh Garret Dawum

SERBUAN di rumah di Lorong Kapor, Jalan Sungai Maong, Kuching Jumaat lalu bukan sahaja menemui dadah malah, selaras senapang angin.

Serbuan pada 5.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak atas maklumat dan risikan selama beberapa hari.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata, pada mulanya pasukan menahan lelaki berusia 40-an yang juga penganggur kerana dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Katanya, pemeriksaan di bilik pertama rumah itu menemui serbuk ekstasi seberat 8.8 gram (g), 10 biji pil ekstasi seberat 3.78g dan 0.86g syabu yang disorokkan di dalam laci kabinet kayu.

“Namun pemeriksaan lanjut di rumah kemudiannya menemui selaras senapang angin jenama Sharp Innova, dua bekas plastik berisi peluru timah jenis Superdome dan satu kotak bertulis New Waisted Pattern Air Rifle Pellets

.

“Barangan terbabit diletakkan di tepi dinding berhampiran tangga,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Hasnir berkata, suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan ujian saringan dilakukannya mendapati dia positif dadah selain dia pernah ditahan tujuh kali kerana jenayah dadah.

Berikutan itu, dia disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 3:43pm
d