mutakhir

Agihan berperingkat baju kalis api

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

ENAM ribu baju kalis api sudah diagihkan ke semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negara secara berperingkat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, baju itu akan menggantikan baju lama, diagihkan dalam tempoh dua bulan.

Katanya, dalam masa sama, kementerian turut membuat perolehan bagi menambah 9,000 lagi baju kalis api, yang mana penghantarannya dibuat menjelang hujung tahun atau tahun depan.

“Dengan adanya baju kalis api ini, ia dapat memenuhi kelengkapan bukan saja peralatan dan aset bomba tetapi pakaian anggota juga,” katanya kepada pemberita pada Program Larian Bersama Bomba ke-17 di Cyberjaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Mohammad berkata, baju kalis api penting dalam memastikan setiap pegawai dan anggota dalam keadaan siap siaga bagi menjalankan aktiviti menyelamat.

Harian Metro pada Januari lalu melaporkan sembilan BBP berdepan masalah kekurangan baju itu yang dianggap kritikal berikutan tiada pembelian baharu dibuat sejak 2017.

Keadaan itu menyebabkan ada anggota yang menggunakan baju kalis api usang atau berkongsi pakaian sama dengan rakan yang tidak bertugas.

Susulan pendedahan, pada 25 Mei lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan 15,000 baju kalis api baharu akan diagihkan ke semula BBP menjelang pertengahan Jun.

Beliau dilapor berkata, jumlah itu termasuklah 6,000 baju kalis api yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini kerana didakwa tidak mematuhi prosedur dan sijil perakuan pakaian keselamatan itu yang didakwa dipalsukan.

Pada 15 Mei lalu ujian ke atas sampel baju itu dilaksana di makmal di Manchester yang diiktiraf United Kingdom Accreditation Service (UKAS), yang mendapati ia selamat digunakan, melepasi ujian dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 5:02pm
d