mutakhir

Duda, janda kantoi berkhalwat

Oleh Amir Mamat

PASANGAN kekasih berstatus duda dan janda dicekup dalam operasi cegah maksiat di Kampung Semabok, Melaka, awal pagi hari ini.

Pasangan yang masing-masing berusia 38 dan 33 tahun itu, ditahan dalam rumah sewa perempuan oleh sepasukan anggota pencegah maksiat terdiri daripada pegawai syarak Masjid Al-Abrar, Semabok, 3.15 pagi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, selepas diketuk beberapa kali, pintu rumah berkenaan dibuka oleh wanita beranak tiga itu sebelum pihak berkuasa agama terbabit menjalankan pemeriksaan ke bilik utama.

“Ketika pemeriksaan dibuat, pihak berkuasa agama itu menemui seorang lelaki dalam almari pakaian di bilik utama rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kedua mereka bukan suami isteri, sebaliknya berstatus duda dan janda serta masing-masing mempunyai tiga anak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rahimin berkata, lelaki berkenaan cuba melepaskan diri dengan memberi alasan tidak munasabah iaitu hanya ingin berehat sekejap kerana ‘tidak sedap badan’.

Katanya, mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kandang, Melaka, sebelum ke pejabat penguatkuasaan JAIM untuk disoal siasat dan dibebaskan dengan jaminan.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau keduanya sekali.

Rahimin turut menasihatkan supaya pasangan duda dan janda terbabit menyegerakan proses pernikahan mereka.

Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi berasingan, satu lagi pasangan kekasih masing-masing berusia 21 tahun ditangkap khalwat dalam rumah sewa di Kampung Ayer Pa’abas di Alor Gajah.

Katanya, operasi pada 2.15 pagi itu dilakukan beberapa anggota penguat kuasa agama.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan berkunjung dan bermalam rumah sewa lelaki itu, sebelum diserbu pihak berkuasa agama,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 6:49pm
d