mutakhir

2 maut kereta tersangkut di pokok

Oleh Ibrahim Isa

DUA sahabat maut apabila kereta Honda City dinaiki mereka terbabas, berpusing dan tersangkut pada pokok di Jalan Persiaran Perling, Taman Perling di Johor Bahru, 1.10 pagi tadi.

Mangsa kedua-duanya dikenali sebagai Sin Yu Yun, 24 dan Tan Xue Qi, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.35 pagi mengenai kemalangan itu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa dari Taman Bukit Indah menuju ke Skudai.

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba di tempat kejadian kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, Sin yang beralamat terakhir di Taman Nusa Bestari 2 dan Tan beralamat terakhir di Taman Ungku Tun Aminah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat manakala kenderaan dinaiki mereka dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk menjalani pemeriksaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Mohd Rafie Mohd Sareng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.12 pagi sebelum 10 anggota membabitkan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, apabila tiba pihaknya mendapati kereta terbabas di tepi jalan dan tersangkut pada pokok dengan jarak hanya kira-kira 10 meter dari deretan rumah kedai.

Katanya, anggota bomba tidak berdepan masalah untuk mengeluarkan mangsa kerana mereka tidak tersepit dan hanya bertindih, mungkin disebabkan kereta berpusing.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba untuk memberikan bantuan kecemasan sebelum mayat diserahkan kepada polis,” katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 7:27pm
d