mutakhir

Jaket hitam 'tutup dosa'

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SEORANG lelaki menggunakan jaket hitam untuk menutup beg tangan wanita yang dicurinya di kedai emas di dalam pusat beli-belah di Kuala Lumpur, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, mangsa bersama suaminya memasuki premis itu pada 4.25 petang.

Katanya, ketika mereka sedang leka melihat barang kemas, suspek yang bercermin mata itu memasuki premis lalu mengambil beg tangan wanita yang berada di atas kerusi.

“Lelaki itu terus menutup beg tangan terbabit dengan jaket hitam dipegangnya lalu segera beredar sebelum wanita itu menyedari beg tangannya hilang pada 4.51 petang.

“Bagaimanapun, perbuatan suspek berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, wanita terbabit kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, kunci kereta, jam tangan dan telefon bimbit.

Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 1:15am
d