mutakhir

5 lot kedai hangus [METROTV]

Oleh Zaid Salim

LIMA lot kedai di Jalan Sultan Mohamad, Kampung Gong Kapas, Kuala Terengganu musnah dalam kebakaran, malam tadi membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1.2 juta.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, bangunan yang menempatkan tiga lot kedai menjual lampu hiasan dan barangan elektrik, dua lot kedai menjual aksesori dan alat ganti serta bengkel motosikal musnah.

Bagaimanapun, ketika kejadian pemilik perniagaan terbabit masing-masing dikatakan berada di rumah selepas menutup perniagaan sebelum jam 6 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada 10.37 malam.

Katanya, 33 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan BBP Marang bersama empat jentera termasuk dua lori tangki air dikerahkan ke lokasi bagi bantuan pemadaman.

“Difahamkan kebakaran bermula di bahagian belakang premis menjual lampu hiasan dan barangan elektrik.

“Ketika tiba di lokasi kita mendapati 70 peratus bangunan kedai berkenaan sudah terbakar dan kebakaran juga menyebabkan beberapa letupan kecil dipercayai berpunca daripada bahan seperti tin penyembur cat dalam premis terbabit.

“Kita mengambil masa setengah jam bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya, 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Shoki berkata, usaha memadamkan kebakaran turut menghadapi kesukaran berikutan lot kedai yang bersambung antara satu sama lain selain susunan barangan yang padat.

Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran tidak membabit kemalangan jiwa.

“Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 12:26pm
d