mutakhir

'Ulat parkir' didenda RM1,000

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DUA ‘ulat parkir’ masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah mengambil ganjaran daripada perkhidmatan meletak kenderaan secara tidak sah, malam tadi.

Majistret Nurasidah A Rahman turut memerintahkan dua orang kena saman (OKS) itu, M Thamothiran, 38, dan S Nersaeman, 55, dipenjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa tanpa kuasa yang sah, memujuk orang awam dengan menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan menerima ganjaran RM20 untuk meletakkan kenderaan secara tidak sah di suatu tempat awam.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Sutera, Taman Sentosa di Johor Bahru, 9.10 malam tadi.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Thamothiran yang berkerja di kelab malam memohon hukuman denda yang ringan memandangkan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan mempunyai tiga orang tanggungan.

Nersaeman juga memohon hukuman denda yang rendah kerana hanya bekerja sebagai penjual sayur dengan gaji RM900 dan turut menanggung tiga ahli keluarga.

Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Khairulnizwan Md Khalid bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal.

“Ini tidak adil bagi orang awam yang lain sedangkan tempat meletakkan kenderaan yang disediakan pada waktu berkenaan adalah percuma untuk orang awam,” katanya.

Kedua-duanya bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mereka ditahan dalam satu operasi khas penyamaran ‘Ops Parasit’ yang dijalankan JPJ hasil aduan orang awam.

Ketika pemantauan, mereka dilihat mengarahkan kenderaan dipandu pegawai JPJ yang menyamar, untuk meletakkan kenderaan dan mengambil ganjaran menerusi wang perangkap RM20.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 1:13pm
d