mutakhir

Dua maut kemalangan kereta, lembu

Oleh Aizat Sharif

DUA remaja maut dilanggar kereta selepas motosikal ditunggang melanggar lembu di Jalan Kok Klang, Arau malam tadi.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, Muhammad Azrul Aizat Dan, 15, bersama rakannya Muhammad Firdaus Che Nor, 17, dalam perjalanan dari Guar Nangka ke Kok Klang ketika kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang Honda EX5 melalui Jalan Kok Klang sebelum tiba-tiba seekor lembu melintas jalan berkenaan.

“Ketika kejadian, Muhammad Azrul menunggang motosikal berkenaan dan seekor lembu melintas di jalan itu menyebabkan mangsa dan rakannya Muhammad Firdaus melanggar haiwan itu.

“Kemalangan itu menyebabkan mereka terjatuh di tengah laluan sebelum dirempuh kereta Honda Stream dari arah bertentangan,” katanya hari ini.

Katanya, kereta berkenaan yang dipandu wanita berusia 32 tahun tidak sempat mengelak kedua-dua mangsa yang terjatuh di tengah jalan itu.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa parah di kepala dan maut di tempat kejadian.

“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 2:32pm
d