mutakhir

Padah ceroboh rumah ibu Najib

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PADAH menceroboh rumah ibu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, seorang penganggur dihukum penjara seminggu dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Akmal Azisham, 21, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 15 Ogos lalu.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nur Akmal didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki rumah milik Tun Rahah Mohd Noah di Jalan Eaton Off Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, 9.45 malam, 15 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syakirin Yaccob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang masih bujang dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman denda yang ringan.

Ketika ditanya Mohamad Aizat kenapa tertuduh masuk ke rumah itu, Muhammad Nur Akmal menjawab dia tidak tahu dan tidak ingat.

Nur Syakirin bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan supaya kejadian sebegini tidak berulang.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 3:34pm
d