mutakhir

Tiga asas tangani isu Dr Zakir Naik

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

PAS meletakkan tiga asas penting yang perlu diberi perhatian dan dihormati berhubung kontroversi membabitkan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mengikuti dengan cermat perkembangan isu Dr Zakir yang dibangkitkan pihak tertentu atas tujuan yang dilihat boleh mengeruhkan suasana.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian semua pihak termasuk pihak berkuasa, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal media serta Dr Zakir sendiri bagi menjernihkan keadaan.

“Pertama, budaya debat dan dialog adalah ruang demokrasi yang perlu dihormati. Semua pihak perlu bersedia untuk bersemuka dan berdialog secara ilmiah dan berhikmah demi mencari kebenaran dan kebersamaan.

“Pihak RTM dan kerajaan negeri wajar memberikan ruang supaya budaya dialog ini dapat disuburkan, sebagaimana yang dianjurkan oleh kerajaan Kelantan tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perpaduan masyarakat majmuk adalah kerukunan hidup yang perlu dipelihara menjadikan semua pihak bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara.

“Siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ yang mencetuskan kegelisahan ini.

“PAS dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sentiasa komited membela perpaduan kaum di negara ini, dan terbuka untuk berdialog dengan semua pihak di atas prinsip kebenaran,” katanya.

Katanya, status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Dr Zakir adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun.

“Hak keselamatan ini juga adalah jaminan Islam terhadap sesiapa yang terancam keselamatannya, walaupun terhadap bukan Islam. Kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan keselamatan ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 5:36pm
d