mutakhir

Mohon saksi tampil bantu siasatan

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS meminta pengguna jalan raya menyaksikan insiden kemalangan maut di Kilometer 122, Jalan Sandakan-Lahad Datu, berhampiran Kampung Paris 2, Kinabatangan, Jumaat lalu, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan jam 1.10 petang mengorbankan empat individu membabitkan pikap Toyota Hilux dan lori.

Katanya, saksi kejadian diperlukan untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

“Kita minta saksi bebas berada di tempat kejadian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk membantu siasatan.

“Selain itu, mereka juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Edwin di talian 016-856 3017 atau 089-561 890 sambungan 13,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, dalam kejadian malang itu, pemandu dan tiga penumpang pacuan empat roda terbunuh di lokasi kejadian dan punca kemalangan dipercayai akibat mangsa yang cuba memotong sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 5:41pm
d