mutakhir

Najib tandatangan transaksi 3 akaun peribadi

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada mengakui bahawa tandatangan pada dokumen membabitkan tiga akaun semasa di AmIslamic Bank adalah miliknya.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas SPRM, Rosli Husain, 54, berkata demikian ketika memberi keterangan di dalam perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib, 66, hari ini.

Menurutnya, perkara itu disahkan oleh Najib sendiri ketika percakapannya dirakamkan oleh SPRM pada 5 Disember 2015, 22 Mei dan 24 Mei 2018.

“Dokumen itu membabitkan borang pembukaan akaun, arahan pindahan dan kad kredit. Tiga akaun AmIslamic itu adalah yang berakhir dengan nombor akaun 880, 906 dan 898.

“Ketika disoal siasat, semua dokumen itu dirujuk kepada Najib dan beliau mengesahkan semua tandatangan itu adalah milik beliau,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bagaimanapun membantah keterangan Rosli itu dan mendakwa ia hanya bersifat ‘dengar cakap’ dan tidak wajar diterima.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, pihaknya akan membangkitkan isu itu pada peringkat hujahan.

Terdahulu, Rosli memberitahu SPRM gagal mendapatkan surat asal dihantar oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada AmBank pada 2014.

Rosli berkata, pada September lalu, AmBank ada menyerahkan salinan surat itu dan memaklumkan bahawa salinan asal sudah diserahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015.

“Ia adalah salinan surat kebenaran daripada Nik Faisal kepada AmBank. Ia adalah surat membenarkan individu dikenali sebagai Kee Kok Thiam untuk mendeposit wang ke dalam akaun peribadi Najib.

“Nik Faisal yang mengeluarkan surat itu pada 2014 kepada Kee. Kee adalah rakan kepada ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim.

SUHAIMI: Pihak AmBank menyerahkan kepada kamu salinan surat Nik Faisal, adakah kamu tahu di mana salinan asal surat itu.

ROSLI: Tercatat pada surat oleh AmBank bahawa ia berada dalam simpanan Bank Negara. Terdapat usaha untuk mendapatkan salinan tetapi gagal.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bersambung esok dan Suhaimi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa satu jam lagi untuk menghabiskan pemeriksaan utama mereka.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 7:46pm
d