mutakhir

Lampu LED lebih jimat

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN dapat mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan dan menjimatkan tenaga antara 30 hingga 40 peratus menerusi penggunaan lampu jalan jenis Light-emitting Diode (LED) di luar bandar.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, yakin penggunaannya mampu beri manfaat yang lebih menyeluruh kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Katanya, lampu LED juga lebih mesra alam dan ia sekali gus merealisasikan konsep kecekapan tenaga.

“MESTECC dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar mahu memastikan kampung di negara, diterangi dengan lampu mesra alam dan membolehkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dilakukan pada waktu malam.

“Ia juga dapat mengurangkan risiko berlakunya jenayah dan kemalangan khususnya di kawasan gelap,” katanya dalam Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Kampung LED Inisiatif Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR)di Kampung Rinching Hilir, Semenyih.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dalam perkembangan lain, Yeo berkata, kementeriannya akan memastikan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) mematuhi syarat lesen pengoperasian yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, kementerian juga masih tidak menerima permohonan rasmi daripada Lynas untuk lokasi Kemudahan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) di Pahang.

Dalam pada itu, Rina berkata, sebanyak 10,000 lampu jalan kampung akan dipasang menjelang akhir tahun ini.

“Peruntukan untuk lampu jalan kampung ini sememangnya tinggi dan saya ajukan kepada Yeo untuk MESTECC bekerjasama menerusi dana inisiatif Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR),” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 10:08pm
d