mutakhir

Kelab Pentas diaktif semula

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUALA LUMPUR: Pernah menjadi pusat aktiviti kepada golongan belia di sekitar Kampung Baru puluhan tahun lalu, pusat kebajikan yang dikenali dengan panggilan Pentas dihidupkan semula Kelab Pemuda Kampung Baru (KBSquared) sebagai hab kebajikan untuk orang muda serta masyarakat setempat.

Bukan saja menjadi tempat berkumpul, ia dijadikan pusat pengedaran makanan percuma kepada gelandangan setiap Jumaat bagi membolehkan mereka menikmati hidangan serta mendapatkan pakaian terpakai yang disumbangkan masyarakat setempat.

Presidennya, Ad Adib Shaharuddin berkata, sesuai dengan sejarah panjang Kampung Baru sebagai kawasan warisan orang Melayu di ibu negara, beliau sebagai anak jati di situ terpanggil untuk mengaktifkan kelab berkenaan sejak awal tahun ini dan ia mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat.

Katanya, merasai betapa kampung itu pernah melalui zaman gemilang yang penuh kenangan, dia menubuhkan kelab terbabit yang menjadi pusat kegiatan untuk generasi muda di kawasan sekitar mengadakan pelbagai aktiviti sukarela membantu masyarakat.

“Waktu saya kecil dulu, Pentas memang dikenali di Kampung Baru sebagai tempat berkumpul, santai dan lokasinya terletak di pasar.

“Ia sudah dirobohkan dan sejak itu, anak muda tidak mempunyai pusat aktiviti. Jadi, kita bina semula dengan konsep yang sama dan mungkin wajah berbeza sesuai dengan peredaran masa.

“Alhamdulillah, ia sudah mula bergerak dan kami anak muda di sini menjadikannya sebagai tempat lepak dengan pengisian ilmiah seperti program bantu gelandangan, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong sekitar Kampung Baru dan pelbagai lagi,” katanya.

Ad berkata, di Pentas itu juga disediakan gerai menu RM4 khusus untuk masyarakat sekeliling mendapatkan juadah tengah hari pada harga ekonomi yang diusahakan orang muda di situ.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 6:00am
d