mutakhir

Apa motif buat onar di surau?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan gelandangan yang merosakkan barang di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, polis menerima laporan daripada pihak surau yang memaklumkan berhubung kejadian, 10.15 pagi semalam.

“Hasil siasatan, kami menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di sekitar Taman Desa, 6.30 petang semalam.

“Kami turut merampas satu tukul besi dipercayai digunakan suspek untuk merosakkan barang serta pakaian yang dipakainya ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memakai kemeja-T berwarna biru dan berseluar pendek warna merah ketika dilihat masuk ke dalam surau berkenaan.

“Dia kemudian dilihat menggunakan objek seperti besi lalu memecahkan beberapa barang di dalam surau itu termasuk mimbar, jam dinding dan papan tanda Ahli Jawatan Kuasa (AJK).

“Jumlah kerugian dalam kejadian itu dianggarkan lebih RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah.

“Semakan dilakukan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan kes curi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 9:49am
d