mutakhir

Bidaan siri JTR mula esok

Oleh Mary Victoria Dass

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor membuka bidaan siri JTR menerusi sistem JPJeBid, esok dengan harga bidaan bagi Nombor Bernilai Utama adalah RM20,000.

Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, sistem pertama kali diperluaskan pelaksanaannya ke JPJ Negeri Johor akan dibuka selama lima hari bermula pada 12 tengah malam 21 Ogos hingga 11.59 malam, 25 Ogos ini.

Beliau berkata, keputusan bidaan akan diumumkan, 26 Ogos ini dan harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang ditetapkan.

Katanya, kenaikan bidaan minimum adalah kadar lima peratus iaitu RM1,000 bagi Nombor Bernilai Utama iaitu RM 20,000.

“Manakala nombor menarik bernilai RM3,000 menyaksikan kenaikan bidaan berjumlah RM150, nombor popular (RM800), kenaikan bidaan RM40 serta nombor biasa (RM300) kenaikan minima RM15.

“Kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah dengan menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.

“Pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayuran fi perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida (sekali),” katanya dalam kenyataan di JohorBahru, hari ini.

Beliau berkata, tiada sekatan untuk melakukan bidaan dan setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi perniagaan atau syarikat adalah tidak melebihi lima lima nombor kenderaan sahaja.

Menurutnya, JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dilakukan.

“Pembida boleh mengetahui kedudukan (ranking) dan tiada unsurcampurtangan mana-mana pihak.

“Ia terbuka kepada warga negara Malaysia dan penduduk tetap berusia antara 18 tahun ke atas serta perniagaan atau syarikat yang berdaftar.

“Bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem mySIKAP seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana Pejabat JPJ Negeri dan cawangan JPJ kecuali UTC,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ Negeri atau cawangan.

“Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minima.

“Bayaran bagi nombor bernilai utama dan menarik di ibu pejabat JPJ manakala nombor menarik tiga atau empat digit dan nombor popular di ibu pejabat JPJ atau JPJ Johor.

“Manakala bagi nombor semasa boleh dilakukan bayaran di kaunter Pejabat JPJ Negeri atau cawangan atau mySIKAP.

“Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan,” katanya.

Razali berkata, orang awam juga disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara atas talian.

“Orang ramai adalah dipelawa untuk menyertai bidaan bagi siri JTR ini bagi mendapatkan pilihan nombor yang diingini,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 1:41pm
d