mutakhir

'Air mata berguguran...'

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

DUA rakan serumah hanya mampu menitiskan air mata selepas mereka diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Georgetown hari ini, atas pertuduhan mengedar dua jenis dadah kira-kira tiga tahun lalu.

Seorang daripada mereka menitiskan air mata ketika berada di kandang tertuduh selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mengeluarkan perintah itu.

Rakan serumahnya yang turut berdepan pertuduhan dan perintah sama pula menitiskan air mata sejurus dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Terdahulu, Akhtar mengarahkan kedua-dua wanita terbabit, Zawani Zulkifli, 33, dan Nur Zahiran Yusoff, 34, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

“Mahkamah mengambil kira keterangan dua saksi penting pendakwaan mengenai pemilikan dadah terbabit dan unsur pembuktian sudah diberikan, selain keterangan SP8 bahawa ia (premis) disewakan kepada kedua-dua tertuduh.

“Walaupun saksi dicabar mengenai pengecaman tertuduh, saksi cam (tertuduh) secara tegas, selain kunci dan kad akses diperolehi daripada kedua-dua tertuduh serta ‘item’ dalam rumah itu ada kesan DNA (asid deoksiribonukleik) tertuduh.

“Mengenai identiti dadah, peguam tertuduh berhujah bahawa ahli kimia bukan pakar.

“Dalam kes ini, ahli kimia sudah mengawal keseluruhan bacaan serta tak mencemari atau ganggu gugat analisa dan dia boleh dikategorikan sebagai pakar,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Zawani dan Nur Zahirah didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 212.7 gram (g) dan monoacetylmorphines (80.2g).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 21-13A, Park View Tower, Jalan Harbour Place, Butterworth pada 4.45 petang, 18 Disember 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen, manakala Zawani diwakili V Parthipan dan Nur Zahirah pula diwakili Simon Murali.

Akhtar kemudiannya menetapkan 1 Oktober depan untuk pembelaan.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 2:06pm
d