mutakhir

Dua sekawan sehati ke lokap

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KEADAAN mencurigakan dua operator kilang di Batu Hampar, Pendang, membongkar pembabitan mereka dalam pengedaran dadah di kawasan ini.

Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah malam tadi, dua lelaki berusia 24 dan 27 tahun dipercayai sedang menunggu pelanggan sebelum disedari polis yang ketika itu sedang melakukan rondaan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kedua-dua lelaki terbabit menaiki motosikal jenis Demak kemudiannya diperiksa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui empat paket plastik lutsinar mengandungi heroin dianggarkan seberat 97.70 gram dalam sebuah beg dipakai suspek.

“Pemeriksaan lanjut pada poket seluar menemui satu lagi paket plastik mengandungi syabu dengan anggaran 1.30 gram.

“Nilai keseluruhan dadah ditemui adalah RM3,070.

“Manakala pemeriksaan pada pembonceng motosikal tidak menemui bahan terlarang,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai empat rekod lampau iaitu dua rekod kesalahan jenayah dua kesalahan narkotik.

“Manakala, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 5:43pm
d