mutakhir

Buruh maut dihempap konkrit

Oleh Nur Lela Zulkipli

DUA lelaki Indonesia meninggal dunia selepas dihempap dinding konkrit yang runtuh di tapak pembinaan berhampiran Persiaran Electron Seksyen U16, Denai Alam, Shah Alam, hari ini.

Mereka dikenali Sahrullah dan Mattalha masing-masing berumur 42 tahun cedera parah di kepala dan tangan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor pada jam 4.07 petang.

“Kita menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik ke kawasan kejadian dengan kekuatan sembilan anggota.

“Anggota menggunakan peralatan khas untuk memecahkan dinding konkrit dan kedua-dua mayat berjaya dikeluarkan dalam tempoh 20 minit,” katanya, hari ini.

Menurut Hafisham, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang bekerja apabila dinding konkrit di tapak pembinaan longkang tiba-tiba runtuh.

“Mangsa tersepit di bawah runtuhan itu dan ketika kejadian hanya mereka berdua bekerja di kawasan itu,” katanya yang memberitahu mangsa tidak memakai topi keselamatan semasa bekerja dan dinding konkrit itu tidak kukuh.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Sungai Buloh dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 6:59pm
d