mutakhir

Dua beranak 'menangis tak berlagu'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

WANITA dan anaknya menangis selepas ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan cukai jalan motosikal ditunggang mereka tamat tempoh sejak lima tahun lalu dalam operasi bersepadu di Jalan Jasin-Melaka, Bemban, Jasin, hari ini.

Wanita berusia 35 tahun itu ditahan pada 3.45 petang, hari ini selepas mengakui cukai jalan motosikal Honda Wave ditunggang bersama anak lelaki berumur enam tahun itu tamat tempoh sejak Jun 2014 menyebabkan kenderaan itu disita.

“Tolonglah encik, jangan saman dan sita motosikal. Suami saya tak boleh ambil saya dan dia suruh saya jalan kaki balik rumah,” katanya disusuli tangisan bersama anak lelakinya.

Bagaimanapun, suasana dramatik itu berjaya dikawal beberapa pegawai JPJ yang meminta wanita itu dan anaknya bertenang dan menghubungi keluarga sementara proses mengeluarkan saman dikeluarkan.

Selepas kira-kira 10 minit, seorang lelaki dipercayai suami wanita berkenaan datang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa dua beranak itu pulang.

Sementara itu, Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, operasi tiga jam bermula 3.30 petang itu membabitkan 58 pegawai serta anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Keseluruhannya, sejumlah 200 kenderaan diperiksa dan 44 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

“Sebanyak dua kenderaan turut disita iaitu sebuah motosikal yang cukai jalannya tamat tempoh sejak 2014 dan sebuah kereta tamat cukai jalan sejak 2013,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah AADK negeri, A Reuben yang turut menyertai operasi berkata, seramai tiga lelaki berusia 29, 32 dan 39 tahun ditahan setelah ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Beliau berkata, ketika-tiga mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 7:15pm
d