mutakhir

Lagi penguat kuasa JPJ didakwa [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

SEORANG lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM6,300 daripada syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Tertuduh, Hanisham Din, 48, yang turut berdepan lapan pertuduhan pilihan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan utama, Penolong Penguat Kuasa JPJ gred KP26 itu didakwa secara rasuah menerima suapan bagi dirinya wang tunai daripada Syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori milik syarikat terbabit yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Perai antara 12 Januari 2016 hingga 8 September 2016.

Semua pertuduhan utama itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada syarikat terbabit, bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori milik syarikat itu di tempat dan tarikh sama.

Untuk pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana menjaga ibunya yang perlu menerima rawatan sakit jantung.

Nizam kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, 27 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang termasuk dua bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan 69 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang Januari lalu selepas disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.

Berita berkaitan

Enam anggota JPJ didakwa terima rasuah [METROTV]

6 anggota JPJ hadapi 40 pertuduhan [METROTV]

6 lagi penguat kuasa JPJ akan didakwa

6 penjawat awam hadapi 63 tuduhan

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 11:38am
d