mutakhir

Padah tunjuk isyarat lucah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PADAH menunjukkan isyarat lucah terhadap polis, pekerja bengkel besi buruk didenda RM300 di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Thanaseelan Sergaran, 30, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan isyarat lucah jari hantu kepada anggota polis bertugas di hadapan pos pengawal Balai Polis Kota Bharu pada 3.53 petang, 5 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, anggota polis yang bertugas di pos pengawal menegur tertuduh yang datang ke balai polis untuk melaporkan diri di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dengan memakai selipar.

Tertuduh kemudian bertindak menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis itu.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nik Nazriani Nik Ab Rahman memohon hukuman ringan dikenakan terhadap tertuduh kerana perlu menanggung ibu bapanya.

“Tertuduh memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 12:14pm
d