mutakhir

Maut selepas 16 jam dirawat

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

PESARA tukang kebun sekolah maut selepas bertarung nyawa lebih 16 jam akibat kemalangan membabitkan dua motosikal di depan Masjid Simpang Krayong, Jalan Jasin Chinchin, Jasin semalam.

Mangsa, Md Tar Dawi, 70, meninggal dunia 8 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM).

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika insiden 4 petang semalam, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dirempuh sebuah lagi motosikal jenis SYM Bonus, ditunggang pekerja kantin Hospital Jasin (HJ), Abdul Rahman Razali, 18, yang datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila, pekerja kantin dari arah Jasin ke Chinchin, terbabas ke laluan bertentangan sebaik tiba di masjid di Simpang Kerayong sebelum melanggar pesara tukang kebun dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan pesara itu parah di kepala dan dihantar ke HM manakala pekerja kantin berkenaan cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arshad berkata, ketika kejadian, cuaca baik dan permukaan jalan bertar kering.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 12:20pm
d