mutakhir

Dijel 9 tahun...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, selepas didapati bersalah merompak wang tunai RM250 milik seorang peniaga dengan bersenjatakan pisau, dua tahun lalu.

Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman itu terhadap Zamri Awang, 37, dan memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 9 April 2018.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan dua yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau ke atas Ahmad Firdaus Adnan, 33, iaitu wang tunai RM250.

Dia didakwa melakukan perbuatan di hadapan stesen minyak di Padang Midin, di Kuala Terengganu, jam 3.30 pagi pada 13 Julai 2017.

Bagi tuduhan itu, lelaki itu didakwa Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang baru pulang daripada berniaga dengan memandu sebuah van ditahan tiga lelaki termasuk tertuduh yang dikenali mangsa di hadapan sebuah stesen minyak.

Sebaik memberhentikan van dipandu, tertuduh meletakkan pisau di leher lalu meminta wang RM300 sebelum mangsa memberi RM250.

Tertuduh turut mengugut akan mencari mangsa sekiranya mangsa membuat laporan polis.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 1:17pm
d