mutakhir

Kerap ponteng dan seludup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIDAK hadir bertugas antara kesalahan yang dikenal pasti sering dilakukan kakitangan penjara.

Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Kadir Rais berkata, pihaknya turut mengesan kesalahan menyeludup artikel (barangan) larangan yang dilakukan kakitangan jabatan terbabit.

“Kebanyakan kesalahan dikesan dilakukan kakitangan adalah tidak hadir bertugas diikuti kesalahan menyeludup artikel (barangan) larangan seperti rokok, tembakau dan telefon bimbit.

“Sebaik menerima kes ini, kami serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan ke 62 Peringkat Negeri Selangor di Maktab Penjara Malaysia, Kajang hari ini.

Sebelum pelancaran kempen berkenaan, Abdul Kadir turut memakaikan pangkat kepada 53 kakitangan Jabatan Penjara di Selangor dan Kuala Lumpur selain pemasangan bendera pada kenderaan Jabatan Penjara, pasukan konvoi bermotosikal dan pasukan berbasikal dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Maktab Penjara Malaysia, Datuk Narander Singh.

Abdul Kadir berkata, kakitangan penjara yang melanggar peraturan dirujuk ke lembaga tatatertib peringkat negeri dan ibu pejabat sekali gus mengakibatkan mereka boleh dikenakan tindakan buang kerja atau turun pangkat.

“Dalam usaha membersihkan imej jabatan ini, tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan penjara yang didapati melanggar peraturan.

“Pada masa sama, kami turut menjalankan program bagi meningkatkan prestasi kakitangan yang didapati melakukan kesalahan seperti pembabitan mereka dalam kerja sosial, kawad, kaunseling, ceramah dan kerja kebajikan,” katanya.

Beliau menyeru kepada kakitangan penjara supaya tidak melakukan perkara bercanggah dengan peraturan dan mengamalkan gaya tugas bersih dari aspek keselamatan dan pemulihan penghuni penjara.

“Seramai 13,708 penghuni penjara di Selangor. Kalau kami tiada anggota bersih, bagaimana kita mahu pulihkan mereka (penghuni) dan mengembalikan mereka kepada masyarakat.

“Justeru, mereka (kakitangan penjara) memainkan peranan penting dalam usaha membantu memulihkan penghuni supaya boleh kembali diterima dalam masyarakat selepas dibebaskan,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 1:30pm
d