mutakhir

Buru si topi biru

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

POLIS sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri duit tabung di Masjid Al Ikhsan Tebong, Alor Gajah pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, kejadian itu disedari seorang ahli jawatankuasa masjid pada 4.30 petang sebelum membuat laporan polis mengenai kehilangan duit berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, pengadu ternampak mangga tabung masjid itu berada di lantai dan pemeriksaan mendapati kesemua duit di dalamnya lesap.

“Kerugian yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM400 yang kebanyakannya duit syiling,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid itu, seorang lelaki dilihat memakai topi biru sedang mengumpil peti besi berkenaan sebelum melarikan wang di dalamnya.

“Suspek masuk ke ruang solat dan mengumpil mangga serta membawa lari wang kira-kira RM400 yang sepatutnya akan dikutip oleh bendahari masjid selepas solat Jumaat.

“Bagaimanapun, duit tabung itu tidak dikutip pada Jumaat lalu atas alasan bendaharinya berada di luar kawasan dan akan diambil pada waktu lain,” katanya.

A Asmadi berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 2:21pm
d