mutakhir

Bendera terbalik, 20 NGO lapor polis

Oleh Farah Suhaidah Othman

SEBANYAK 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berikutan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang memasang Jalur Gemilang terbalik di seluruh negara.

Malah, perbuatan itu tular di media sosial sekali gus menimbulkan rasa kurang senang rakyat.

NGO terbabit termasuk Jemaah Manjoi dan Pertubuhan Warisan Persahabatan Gugusan Manjoi, membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Warisan Persahabatan Gugusan Manjoi, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shahibi berkata, terdapat pihak yang dilihat sengaja memasang Jalur Gemilang terbalik dengan meletakkan bahagian bulan sabit dan bintang di bawah.

Katanya, perbuatan itu sekali gus melanggar etika sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dengan kedudukan negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

“Apabila bendera diterbalikkan, itu meletakkan warna kuning diraja yang jadi simbol Yang di-Pertuan Agong di bawah dan kelakuan itu dilihat seolah-olah memberi suatu isyarat mencabar atau protes.

“Berdasarkan gambar yang tular itu difahamkan premis di Bercham, Ipoh melakukan demikian selain beberapa lokasi termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

“Di Kuantan pula ada syarikat multinasional yang melakukan demikian dan dipercayai mereka sudah memohon maaf. Sudah jadi ‘trend’ pula buat dahulu kemudian minta maaf. Bolehkah begitu?

“Sedangkan keadaan itu yang menimbulkan rasa kurang senang semua kaum dalam negara,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Susulan itu, laporan polis dibuat memohon siasatan terhadap perkara itu mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 2:56pm
d