mutakhir

Menara, Skybridge dibuka September

Oleh Norizuan Shamsuddin

MENARA dan Skybridge jambatan angkat (drawbrigde) di Kuala Terengganu dijangka dapat dibuka kepada orang ramai pada awal September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd Khalizan Mahmud berkata, pihaknya dalam proses persiapan untuk menghias galeri yang terdapat di Skybridge dengan beberapa tema ditetapkan bagi memberi tarikan kepada pengunjung.

“Menara (jambatan angkat) dijangka dibuka kepada orang ramai pada minggu pertama September ini.

“Kita akan buat promosi harga tiket untuk masuk ke galeri dengan bayaran RM5 pada hari pembukaannya nanti bagi memberi peluang kepada orang ramai terutamanya masyarakat setempat untuk masuk.

“Bagi restoran yang terdapat di Skybridge pula, kita sudah ada beberapa senarai nama syarikat untuk dipilih tetapi belum putuskan lagi syarikat mana yang layak,” katanya ketika sidang media selepas membuat lawatan kerja bagi proses mengangkat jambatan untuk menguji laluan kapal di jambatan angkat itu hari ini.

Sementara itu, Khalizan berkata, pihaknya belum mempunyai jadual tetap untuk proses jambatan itu diangkat bagi laluan kapal dan diturunkan semula untuk laluan kenderaan darat.

Katanya, pihaknya akan menyalurkan maklumat sekiranya laluan jambatan itu dibuka atau ditutup bagi kenderaan menerusi akaun rasmi Instagram dan Facebook iaitu TerengganuDrawbridge.

“Kita juga ada perancangan untuk menyalurkan maklumat berkenaan menerusi papan iklan digital yang terdapat di sekitar Kuala Terengganu dan kemungkinan kita juga akan pasang beberapa papan iklan digital sepanjang jambatan supaya pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan alternatif sekiranya ia ditutup.

“Selain itu, kita turut mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin melaksanakan acara atau program di jambatan ini termasuk di Skybridge dan mereka boleh berhubung dengan syarikat kami,” katanya.

Drawbridge itu yang juga jambatan angkat pertama di Asia Tenggara mula dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 6 pagi, 1 Ogos lalu.

Jambatan ikonik bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sebelum ini, jambatan berkenaan dibuka untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun lalu sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 5:04pm
d