mutakhir

Kedai runcit bergerak

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan melancarkan TEKUN MART Mobile yang membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof berkata, ia beroperasi dengan objektif mendekati pengguna melalui konsep kedai bergerak dengan menawarkan harga patut yang lebih murah dan kompetitif ke arah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam, daging, ikan dan barangan sejuk beku dengan lebih mudah.

“Ia juga akan menjadi ejen pembekal, pengedar dan pemasaran 40 peratus produk usahawan TEKUN Nasional dan selebihnya adalah produk keperluan lain di pasaran.

“Perniagaan menggunakan TEKUN MART Mobile mengurangkan kos bagi menjalankan perniagaan kerana tiada sewa premis dikenakan serta lokasi perniagaan yang boleh berubah dan ditempatkan di lokasi berpotensi untuk jualan,” katanya selepas Majlis Pelancaran TEKUN MART Mobile di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata TEKUN MART Mobile akan menggunakan dua unit lori bersaiz tiga tan dan satu unit bersaiz satu tan mula beroperasi di sekitar Putrajaya hari ini dan akan diperluaskan ke Bangi, Serdang, Kajang, Kuala Lumpur dan Puchong termasuk di sekitar Program Perumahan Rakyat (PPR) serta pejabat kerajaan.

“Selepas ini, kita akan tambah perkhidmatan ini secara berperingkat di beberapa negeri seperti Melaka kerana modul ini perlu diteruskan di negeri lain memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan.

“Program ini adalah bersifat dua dalam satu iaitu membantu usahawan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Katanya, sejak 1998 hingga Julai lalu, TEKUN Nasional memberi pembiayaan perniagaan kepada 432,959 usahawan di seluruh negara membabitkan nilai RM5.53 bilion.

“Ini menunjukkan TEKUN Nasional komited dalam membantu usahawan Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 5:38pm
d