mutakhir

Abang dera adik

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DIPUKUL dengan getah paip sebelum betis kanan ditekap dengan pisau yang dipanaskan.

Itu penderitaan ditanggung wanita selepas dibelasah abangnya kerana perselisihan faham antara mereka Jumaat lalu.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa berusia 20 tahun yang ketika itu bersama rakannya didatangi abangnya berusia 25 tahun yang memintanya pulang ke rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe berkata, mangsa sudah tidak pulang ke rumah selama tiga hari.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa memaklumkan kepada ibu mereka dia mahu tinggal bersama rakannya di Puchong Jaya dan enggan mengikut abangnya pulang.

“Abangnya itu kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah di Taman Angkasa di sini sebelum mengambil getah paip dan terus memukulnya di bahagian tangan dan kaki.

“Tidak cukup itu, suspek turut mengambil pisau kecil dan memanaskannya sebelum meletakkan di betis kanan adiknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arifai berkata, akibat kejadian itu mangsa lebam tangan dan kaki serta melecur di betis sebelum tampil membuat laporan polis semalam.

“Susulan itu, kita menahan suspek semalam dan direman tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 5:51pm
d