mutakhir

Bawa Wira, isi 83.40 liter petrol

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup petrol ke negara jiran di stesen minyak di Pasir Pekan, Tumpat.

Pengarahnya Adnan Abdul Rahman berkata, operasi selama tujuh jam bermula 10 malam hingga 5 pagi hari ini, susulan maklumat awam berhubung penyelewengan barangan bersubsidi.

Katanya, hasil risikan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kelantan mendapati pemandu Proton Wira berusia 50-an membuat pengisian petrol RON 95 dalam keadaan mencurigakan.

“Susulan itu, pegawai penguat kuasa menyerbu stesen minyak dan kenderaan terbabit. Pemeriksaan lanjut menemui tong plastik berisi petrol di tempat duduk belakang.

“Semakan terhadap resit pembelian mendapati suspek membuat belian sehingga RM170 dengan pembelian lebih kurang 83.40 liter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyita 29 tong plastik, kereta itu dan resit pembelian dengan keseluruhan barang dianggarkan bernilai RM3,400.

“Kami mengambil keterangan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM2 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kami sentiasa memantau semasa ke semasa aktiviti penyeludupan begini dan meminta orang ramai supaya mematuhi undang-undang negara,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 6:29pm
d