mutakhir

Bot awam jejas operasi pesawat

Oleh Mohd Roji Kawi

OPERASI memadamkan kebakaran hutan di Kuala Baram, Miri, menggunakan pesawat Bombadier CL-415 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini, terganggu berikutan ketiadaan bot bagi mengawal lalu lintas sungai.

Jurucakap APMM berkata, bot Kilat 41 yang bertanggungjawab mengawal pergerakan bot di Sungai Baram sejak operasi dilancarkan lima hari lalu mengalami masalah teknikal.

Berikutan itu katanya, banyak bot orang awam keluar masuk di Sungai Baram sehingga menyukarkan pesawat mengambil air untuk melaksanakan operasi itu.

“Operasi hari ini kurang lancar kerana banyak bot keluar masuk di Sungai Baram.

“Keadaan ini menyebabkan pesawat gagal untuk memaksimumkan endurance dan masa yang ada,” katanya dalam kenyataan.

Operasi memadamkan api hari ini tertumpu di Sektor 2 berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri di Kuala Baram.

Beliau berkata, terdapat beberapa tompok panas dan kebakaran semakin buruk di kawasan itu.

“Situasi itu dijangka menyebabkan keadaan jerebu berulang dan indeks pencemaran udara (IPU) akan meningkat malam ini,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 246,000 liter air digugurkan di lokasi kebakaran hari ini dengan keberkesanan operasi pada tahap 50 peratus.

“Operasi akan diteruskan di Sektor 3 esok dengan dua penerbangan dirancang melakukan pengeboman air di lokasi terbakar,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 7:54pm
d