mutakhir

Tersembam dalam tali air

Oleh Siti Rohana Idris

LELAKI bertarung nyawa di hospital selepas lemas akibat terjatuh ke dalam tali air di Pengkalan Nangka, Tumpat, hari ini.

Dalam kejadian itu, Mohamad Rizal Kamaruddin, 22, yang sedang memancing dikatakan tersembam ke dalam tali air sebelum diselamatkan penduduk kampung .

Mangsa kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu dan belum sedarkan diri.

Bapa tirinya, Omar Hussin, 49, berkata dia tidak pasti waktu kejadian itu dan hanya mengetahui mangsa keluar dari rumah di Kampung Kebakat pada 6.30 pagi.

“Pada 9.45 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang meminta kami sekeluarga ke Hospital Tumpat kerana Rizal ditimpa musibah.

“Ketika saya dan isteri tiba di Unit Kecemasan Hospital Tumpat, tidak lama kemudian Muhammad Rizal dirujuk ke HRPZ II,” katanya ketika ditemui di pekarangan HRPZ II, hari ini.

Menurutnya, anaknya ditemui seorang penduduk kampung dalam keadaan kepala di dalam air dan kaki di atas.

“Saya tidak tolak kemungkinan anak terlelap seketika semasa memancing kerana terlalu penat sebelum tersembam ke dalam tali air.

“Semalam dia bersama saya membuat kerja memotong kayu dan pada malam tadi dia (Mohamad Rizal) membaiki motosikal sehingga awal pagi sebelum keluar bersama kawan dan pulang pagi tadi sebelum keluar semula untuk memancing,” katanya

Omar berkata, doktor memberitahu keadaan paru-paru Mohamad Rizal agak lemah kerana dipenuhi air kotor (air parit) dan mungkin akan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) nanti.

“Saya mendoakan agar tiada apa-apa serius menimpanya dan memohon orang ramai agar mendoakan yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 7:56pm
d